Khamis, Januari 14, 2010

Cemburukah Kita?

Oleh : Qurratu A’Yun
Majalah Sinar Rohani, Feb 2005

DEFINISI cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih
sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang
dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud
dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak dengan adik
kandungnya.

Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan
terhadap orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang
berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa
cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan.
Mungkin ini ada benarnya kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa
mesti kita merasa cemburu terhadapnya.

Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar
untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’
seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan
jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk
dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang
lain. Namun begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu
buta’ amat tidak digalakkan kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah
rumahtangga begitu juga ketiadaan langsung sifat cemburu pula sebenarnya
boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh menjadi punca pasangan ‘mudah
dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis cemburu iaitu cemburu yang
positif dan cemburu yang negatif.

Bila berbicara tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya
dengan kaum hawa di mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini
sangat kuat cemburunya. Dalam soal ini, sebenarnya sama ada lelaki mahupun
wanita masing-masing mempunyai sifat cemburu. Cuma yang membezakannya
ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah perasaan cemburu itu berjaya
dikawal.

Dalam hubungan suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak
klimaksnya nanti boleh membawa kepada putusnya sesuatu ikatan perkahwinan
itu (bercerai). Dalam hal ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang
berubah menjadi orang yang selalu curiga dan sentiasa berprasangka buruk.
Hakikatnya dia sedar bahawa sikap cemburunya itu kurang menyenangkan
pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia merasakan bahawa apa
yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh
pasangannya hatta perkara yang kecil sekalipun sehingga mencetuskan
pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat kemesraan yang terjalin
sebelumnya. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan, seseorang itu apabila
dapat melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya, hendaklah
bertindak segera agar tidak merebak. Ikutilah tips berikut tentang bagaimana
untuk mengawal keadaan sekiranya mendapat pasangan yang kuat cemburu.

1. Jika pasangan kita mula menunjukkan rasa cemburu, jangan terbawabawa
dengan sifatnya itu. Mungkin kita tidak perlu menjawab setiap
soalan yang diajukan. Sebaliknya lebih baik berdiam diri sahaja daripada
terus menyemarakkan kemarahannya.
2. Anggaplah bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk melukai hati kita.
Mungkin ini tidak disedarinya dan jangan ambil hati.
3. Cuba sedaya upaya untuk membina keyakinan diri padanya. Pujilah
pasangan atau mintalah nasihatnya bila perlu dan sentiasa luahkan
perasaan cinta yang membuktikan bahawa kita menyayanginya. Malah
sebaiknya berikanlah dia sokongan yang berterusan agar dia merasa
sentiasa disayangi dan dihargai.
4. Jangan membabitkan diri dalam situasi yang boleh membuahkan perasaan
cemburu bagi pasangan seperti suka berfoya-foya, berbual-bual mesra
atau bergurau senda dengan orang lain.
5. Berbincanglah dengan pasangan tentang perasaannya. Jika kita telah
berusaha sedaya upaya tetapi pasangan tetap tidak boleh mengawal rasa
cemburunya, kaunseling mungkin jalan terakhir untuk menyelamatkan
keadaan.

‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Begitulah antara bait-bait
lagu yang menceritakan asam garam kehidupan dalam rumahtangga. Cinta dan
cemburu adalah seperti isi dengan kuku bagi mana-mana pasangan suami isteri.
Yang penting adalah kesederhanaan. Maksudnya seseorang itu harus
mempunyai rasa cemburu terhadap pasangan tetapi mestilah berpada. Jangan
sampai pasangan merasa terkongkong dan dikongkong. Sebaliknya jadikanlah
rasa cemburu itu sebagai alat untuk dapat memperbaiki sikap atau mengkoreksi
diri sendiri terhadap sikap yang selama ini diamalkan. Contohnya, bagi seorang
isteri mahupun suami, adakah penampilan atau layanan yang selama ini
diberikan memuaskan atau tidak. Adakah berlaku sesuatu kekurangan dalam diri
yang sebenarnya mampu kita mengadakannya tetapi tidak kita adakan. Dengan
sikap ini, kita akan sentiasa memperbaiki kualiti diri dan sentiasa memberikan
layanan yang terbaik untuk pasangan supaya ia tidak terpikat kepada yang lain.
Akhirnya, tidak perlu lagi terjadi perbalahan atau pertengkaran yang hebat
antara suami isteri gara-gara sifat cemburu kerana tentu sekali tidak ada
pasangan yang rela diperbodohkan atau diambil kesempatan akibat ketiadaan
sifat cemburu dalam hatinya yang membuatkan dia tidak peka dengan kehendak
sebenar pasangannya. Dengan itu ‘cinta dan cemburu hendaklah diambil
‘sesedap rasa’ sebagai perencah kebahagiaan rumahtangga. Cinta biarlah ikhlas
dan cemburu biarlah bertempat. Kata orang, ‘tanpa cemburu rasa cinta terasa
hampa’. Ingatlah, sesungguhnya ‘ALLAH SWT Maha Cemburu’. Maksudnya?
Ya, bukanlah Allah SWT sangat mencintai kita selaku hamba-hamba-Nya. Cuma
kita yang tidak menyedarinya lantaran HATI kita yang telah ‘TERTAWAN
DENGAN ‘CINTA YANG LAIN’! Pembaca sekalian..renung-renungkanlah coretan cemburu ini..setakat manakah cemburu kita..sejauh manakah kita mengawal cemburu ini? Dapatkah cemburu ini tidak bercambah dalam diri kita??

0 comments: